Thursday, December 27, 2007

UTUSAN MALAYSIA 27 DIS 2007 : Graduan raih RM12,000 sebulan tanam cendawan

Graduan raih RM12,000 sebulan tanam cendawan

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 25 Dis. – Walaupun bergelar graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), namun Nor Sanusi Mahmud, 25 tidak menyesal memilih untuk menceburi bidang tanaman cendawan.

Keputusan bijaknya itu membolehkan beliau meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.
Tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakannya sejak tahun 2004 kini menghasilkan sehingga 70 kilogram cendawan setiap hari.

Nor Sanusi yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, sewaktu mula menceburi perusahaan itu, dia hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM28,000 sahaja.

Menurutnya, idea untuk terlibat dalam penanaman cendawan yang diusahakan di Kampung Telaga Papan di sini timbul setelah melihat sendiri kejayaan petani di Hatyai, Thailand.

Kata beliau, dia kemudian membuat keputusan untuk mencuba teknologi penanaman cendawan seperti yang dilaksanakan di Hatyai itu sehinggalah kini berjaya menjadi pembekal utama cendawan ke pasar borong seluruh Kelantan.

‘‘Bezanya kaedah yang digunakan ialah saya bina bangsal cendawan dari kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia seperti yang dilakukan petani di Hatyai.

‘‘Dengan kaedah ini kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membeli kayu dan atap asbestos yang semakin meningkat harganya seperti yang biasa dilakukan di negara ini,” katanya.
Tambah Sanusi, Pejabat Pertanian Pasir Puteh juga banyak membantu menjayakan projeknya dengan menyalurkan khidmat teknikal dan kepakaran termasuk kaedah penanaman yang sistematik.

‘‘Saya menjual cendawan ke beberapa tempat seperti Pasar Besar dan Pasar Borong Pasir Puteh dengan harga RM5.80 sekilogram.

‘‘Ia sudah cukup lumayan dengan pendapatan kasar sebanyak RM400 sehari,” katanya.

Beliau berkata, cendawannya mendapat permintaan tinggi bagi penghasilan masakan tomyam dan juga cendawan goreng yang diusahakan peniaga makanan di sekitar Kelantan dan sebahagian daerah di sempadan Kelantan dan Besut.

‘‘Saya sedia membantu usahawan baru khususnya belia lain yang berminat menceburi penanaman cendawan kerana prospeknya begitu baik ketika ini,” katanya.

No comments:

PROSES PENANAMAN CENDAWAN

Proses Penanaman Cendawan

(A) PENYEDIAAN BEG CENDAWAN

Bahan/Peralatan:-

· Habuk Kayu Getah
· Dedak Halus
· Kapur Pertanian
· Beg Plastik (tahan panas, saiz 8.5cm x 35cm)
· Gegelang PVC (panjang 2-3cm, garis pusat 3cm)
· Kapas/Surat Khabar Lama + Getah Pengikat

Caranya :-

1. Gaulkan habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1

2. Campurkan air sehingga campuran habuk kayu lembab dan apabila dikepal tidak berderai.

3. Masukkan campuran habuk kayu getah ke dalam beg plastik dan hentak sehingga padat.

4. Pasangkan gegelang PVC dan tutup dengan penyumbat kapas atau ditutup dengan kertassurat khabar lama dan diikat dengan getah.



(B) PENGUKUSAN BEG CENDAWAN

Bahan/Peralatan:

· Tong Drum,Set Dapur Gas

Caranya :-

1. Letakkan lapik (dari bata atau kayu dan dawai jaring) ke dalam tong drum setinggi 20cm.

2. Isikan air ke dalam tong drum bawah sedikit daripada pelapik tadi.

3. Susun menegak beg-beg cendawan yang telah siap ke dalam tong drum dan tutup rapat.

4. Kukus 5-6 jam.

5. Sejukkan sebelum disuntik benih


(C) PENYUNTIKAN BENIH

Bahan/Peralatan:

· Benih Cendawan
· Pencungkil Benih

Caranya :-

1. Penyuntikan benih ini hendaklah dilakukan di dalam keadaan bersih.

2. Hancurkan benih cendawan dengan pencungkil.

3. Buka mulut beg cendawan dan masukkan benih cendawan sebanyak satu sudu besar dantutup kembali mulut beg cendawan.

4. Susun beg cendawan secara menegak di tempat yang redup dan sejuk (terlindung dari cahaya matahari)

5. Biarkan maisiliam tumbuh hingga memenuhi keseluruh beg cendawan (30-40 hari selepas disuntik benih).



(D) MEMUNGUT HASIL

1. Setelah maisilium memenuhi keseluruh beg cendawan, susunkan ke atas rak dengan cara merebahkannya.

2. Buka mulut beg cendawan dan tunggu hingga hasil pertama keluar (2-4 hari selepas dibuka).

3. Sembur air dengan percikan yang halus pada waktu pagi dan petang untuk meninggikankelembapan dan merendahkan suhu.

4. Pungut cendawan yang telah berkembang sebelum tepi kelilingnya menjadiberombak-ombak.

5. Tutup kembali beg cendawan yang telah dipungut hasil dan tunggu hingga 7-10 hari untuk dibuka kembali.